"Berapa hantarannya?"
"Kenduri bila?"
"Honey moon di mana?"
Demikian antara persoalan  yang sering timbul apabila hari pernikahan semakin hampir. Menjelang  kenduri kahwin, semakin sibuk ibu bapa, keluarga serta bakal pengantin  sendiri menghabiskan masa untuk memastikan persediaan sempurna dan tiada  apa yang kurang.
Malah hari ini sudah  menjadi perkara biasa untuk kaum keluarga dan adik-beradik memakai  pakaian sedondon, sesuai dengan warna tema sesebuah majlis kenduri  kahwin. Andaikata warna temanya biru, semua adik-beradik dan kaum  keluarga akan berpakaian seragam biru. Khemah pun disusun rapi dan  bereben biru sehinggakan door gift untuk tetamu pun mesti bertema serupa!
Namun adalah satu  kesilapan bagi bakal pengantin lelaki dan wanita untuk terlalu fokus  dengan persediaan fizikal di atas. Terlalu banyak tenaga, wang ringgit  dan masa dicurahkan untuk persediaan kenduri, wang hantaran dan  sebagainya.
Adalah lebih wajar 80 peratus daripada tenaga dan masa digunakan untuk meningkatkan kemahiran mengatasi konflik  yang pasti menanti anda sebaik saja bergelar suami/ isteri.  Sebaik-baiknya anda yang bakal mendirikan rumahtangga melengkapkan diri  untuk menghadapi realiti alam perkahwinan jangka panjang.
LARI DARI MASALAH
Ada lelaki/ wanita  memikirkan, perkahwinan menyelesaikan masalah hidup. Sesetengah lelaki/  wanita menyangka, sesudah berkahwin sudah tentu akan bahagia selamanya.
Umpamanya wanita yang  terasa dikongkong oleh ibu bapa, mungkin menyangka dengan berkahwin,  akan menjadi bebas. Atau ada lelaki menyangka bila sudah kahwin,  makanan, pakaian dan kediaman akan terurus.
Mereka kurang memahami  bahawa perkahwinan adalah suatu alam istimewa dan amat mencabar di mana  kemahiran tertentu amat perlu untuk mengendalikan khususnya tiga perkara  : JANGKAAN & HARAPAN, KOMUNIKASI dan PENYELESAIAN KONFLIK.
Inilah antara punca banyaknya berlaku perceraian tidak kira apa juga bangsa dan agama sekalipun.
JANGKAAN & HARAPAN
Sebenarnya, perkahwinan  hanya akan berpotensi untuk berjaya jika kita benar-benar berusaha ke  arah itu. Jika jangkaan kita tidak realistik, inilah salah satu sebab  berlakunya ketegangan serius yang mengakibatkan perceraian.
Renung dan insaf diri  sendiri. Setiap kita ada banyak kelemahan dan kekuatan. Banyak yang  perlu diperbaiki. Begitu juga bakal suami/ isteri. Jangan harapkan  pasangan yang sempurna kerana hanya Allah sahaja yang sempurna.
Walau sesuci manapun niat kita dalam mendirikan rumah tangga, pastinya ada kekurangan di pihak kita dan suami/ isteri kita.
Apa kata kalau calon  suami/ isteri ada sesuatu tabiat yang kita tidak suka umpamanya merokok  atau kaki perempuan atau kaki judi? Di sinilah silapnya sesetengah  wanita mengandaikan: kerana dia cintakan aku, dia akan berubah.
Kita tidak boleh mengubah  diri seseorang. Kalau dia berubah kerana kita sekalipun, kemungkinan itu  hanya bersifat sementara dan selang beberapa lama, tabiat itu akan  diulangi. Lainlah ceritanya jika dia berubah kerana benar-benar taubat  dan insaf.
KOMUNIKASI & PENYELESAIAN KONFLIK
Dua isu ini berkait rapat jadi eloklah dikupas bersama di sini.
Tanya diri sendiri: Adakah  aku ada kemahiran komunikasi yang baik? Umpamanya jika berselisih faham  dengan kawan atau adik-beradik, tidak puas hati dengan rakan sepejabat,  bagaimanakah anda menyelesaikannya?
Adakah anda pandai menyampaikan ketidakpuasan hati anda ini dengan cara yang efektif? Atau anda lebih suka memendam rasa?
Kalau marah, adakah  kebiasaan anda untuk tunggu dan tunggu sampai tidak tahan sehingga ia  meledak keluar? Adakah anda seorang pendengar yang baik?
Ini penting kerana dalam  perkahwinan, seringkali akan timbul perselisihan pendapat. Jika anda  tidak cekap berkomunikasi, lambat laun perasaan ini akan terkumpul  sehingga suatu hari nanti menjadi punca pergaduhan yang besar.
Pokoknya, jika tahu anda  kurang cekap berkomunikasi, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk  memperbaiki keadaan ini. Maknanya WAJIB anda belajar mengatasi keadaan  ini.
Contoh: Sesetengah wanita  kuat merajuk, suka bermasam muka dan membatu apabila marah. Sebab sudah  terbiasa dari kecil berkelakuan begini, tiada sesiapa yang cuba  memperbetulkannya.
Apabila sudah berkahwin,  marah dengan suami, dia akan bermasam muka dan mendiamkan diri  berhari-hari. Suami pula menjadi serba salah, terpinga-pinga, tidak tahu  apa silapnya.
Apabila sudah sering berlaku begini, tentunya akan mencetuskan rasa kurang senang antara kedua belah pihak.
Perlu diingat, sebaik-baik  perkahwinan adalah di mana suami dan isteri saling lengkap melengkapi  antara satu sama lain. Namun tanpa kemahiran komunikasi yang efektif,  sukar untuk mencapai keadaan ini.
REALITI KONFLIK
Sebenarnya konflik boleh  menjadi sesuatu yang positif atau negatif, bergantung pada reaksi anda  terhadap konflik tersebut. Ia positif bila anda menggunakannya sebagai  suatu batu loncatan untuk lebih memahami suami/ isteri anda.
Beberapa punca konflik rumahtangga termasuk:
- Cara kita dibesarkan  berbeza antara satu sama lain. Ada wanita dididik bahawa Rasulullah  S.A.W menjahit baju sendiri, buat kerja rumah. Bermakna menyumbang bukan  sahaja wang ringgit, tapi masa dan tenaga. Kahwin pula dengan lelaki  yang tak pernah buat kerja-kerja ini; tak pernah tengok bapanya buat  kerja-kerja begini. Perkara sebegini pun boleh menimbulkan konflik juga.
 
- Pengendalian wang – belajar untuk bajet.
 
- Mertua (termasuk ipar duai)  – beri masa untuk mereka menyesuaikan diri dengan kehadiran anda. Untuk  ibu dan bapa mertua khususnya, sukar untuk 'let go' atau melepaskan  anak.
 
- Seimbangkan keperluan anda dengan mertua dan keluarganya.
 
- Luangkan masa untuk mengenali lebih dekat mertua dan ipar duai tapi jangan masuk campur perkara yang tidak membabitkan anda.
 
- Ada sesetengah suami  mewajibkan isteri untuk menziarahi keluarganya setiap minggu. Adakah ini  wajar? Jika sudah tahu demikian, sudahkah diberitahu sebelum berkahwin?
 
TIPS BONUS
- Banyak lagi syarat-syarat  yang diperlukan untuk menjayakan sesebuah mahligai perkahwinan selain  kasih sayang – sokongan, toleransi, kesabaran, kejujuran,  hormat-menghormati, merendah diri, humour (maknanya mudah berjenaka dan  jangan terlalu serius sentiasa).
 
- Bayangkan bila sudah  berkahwin. Bangun tidur orang pertama yang kita nampak ialah suami/  isteri. Jika ada masalah, dialah yang menjadi tempat kita mengadu.  Pendek kata suami atau isteri adalah orang paling rapat dalam hidup  kita. Itulah sebabnya seelok-eloknya kita persiapkan diri kita untuk  menghadapi alam perkahwinan sesempurna yang boleh.
 
- Perkahwinan ibarat menanam  pokok. Selagi kita siram air, cukup cahaya matahari, baja, sihatlah dia.  Jika diabaikan dan tersilap baja, pastinya layu dan suram tidak  bermaya.
 
- Berhati-hati apabila  berkata-kata. Jadilah kawan yang paling istimewa untuk suami/ isteri  anda. Terlalu ramai suami/ isteri yang tinggal sebumbung tetapi tidak  berkongsi lebih dari itu. Cuba cari sekurang-kurangnya satu hobi atau  projek yang boleh diusahakan bersama. Umpamanya kalau suka membantu anak  yatim, usahakan ke arah itu. Atau minat kelas agama, mungkin boleh  sama-sama aturkan satu program untuk surau berdekatan.
 
- Mudah meminta maaf jika  timbul ketegangan. Meskipun kita rasa bukan salah kita. Minta maaf dulu  sebab seringkali kita tak nampak apa kesilapan kita (kecuali keadaan  tertentu yang sudah nyata seperti suami mendera isteri).
 
- Menghargai suami/ isteri. Jangan 'take for granted' perkara-perkara yang dibuat oleh pasangan anda, meskipun ia kecil.
 
- Memahami lelaki dan wanita  berbeza. Umpamanya lelaki, cari mentega dalam peti sejuk pun tak jumpa.  Wanita pula sering sesat di jalanraya dan sukar membaca peta. Ini  perkara biasa dan tak perlulah diperbesarkan!
 
- Berilah masa untuk suami/  isteri masa bersendirian. Ada kala dia perlu masa untuk berehat,  memikirkan masalah di luar yang tiada kena mengena dengan kita.
 
- Jangan tidur dengan perasaan marah antara satu sama lain. Perlu diselesaikan segera.
 
Mudah-mudahan  tips di atas menjadi sumber ilham kepada anda untuk lebih bersedia  melangkah ke alam perkahwinan dan memilih cara-cara terbaik demi  perkahwinan yang bahagia dan berjaya yang diberkati oleh Allah.  Wallahua'lam.