Cordova yang masyhur di dalam Bahasa Arab sebagai
al-Qurtubah merupakan bandar terakhir di bawah penguasaan Islam sebelum
Andalusia jatuh sepenuhnya ke atas tangan golongan Kristian. Kedaifan dalam
mempertahan pemerintahan Islam di Andalusia amat menyedihkan. Ia berlaku pada
zaman pemerintahan terakhir Islam di bawah Bani al-Ahmar yang menguasai wilayah
terakhir Andalusia iaitu Granada dari tahun 620 – 897H. Penyerahan wilayah
terakhir ini terpaksa dilakukan demi menyelamat maruah pemerintah Islam di
bawah pimpinan Abu Abdullah daripada diguling dengan lebih teruk.
Penyerahan dalam bentuk perjanjian yang ditandantangani oleh
pihak Islam dan Kristian itu dilakukan dan penyerahannya kepada Raja Kristian
Sepanyol iaitu Ferdinand dan Isabella. Perjanjian yang dikatakan mempunyai 67
perkara itu antara lain menjamin keselamatan orang Islam untuk tinggal di
Sepanyol dan juga jaminan keselamatan sekiranya mereka ingin keluar dari
Sepanyol menuju ke daerah lain, terutama untuk kembali ke daerah Afrika Utara.
Namun perjanjian yang tidak pernah ditunaikan oleh pihak Kristian itu nampaknya
menjadi senjata yang menikam umat Islam terus menerus sehingga mereka tidak
lagi mampu bertahan apatah lagi untuk merampas kembali Andalusia ini.
Kesan-kesan peninggalan umat Islam, ketamadunan yang dibina
dan seumpamanya telah banyak dimusnahkan.
Penulis ketika menjejaki kaki ke Andalusia seketika dahulu
melihat sendiri bagaimana kota yang dibina oleh pemerintahan Islam kelihatan
dihancurkan dan hampir tidak ditemui oleh para sejarawan dan ahli arkeologi.
Dalam kes ini, lebih jelas jika dilihat bagaimana kota Madinah al- Zahra
ditemui dalam keadaan yang sangat menyedihkan dengan runtuhan kota itu seolah
tidak dapat untuk diselamatkan. Walaupun kota ini dikhabarkan musnah akibat
pergolakan dan peperangan saudara pada tahun 1010M, namun ia keunggulan kota
ini terus malap apabila Andalusia jatuh ke tangan bukan Islam.
Ketika Bani Ahmar memerintah Andalusia, wilayah pemerintahan
mereka sudah menguncup, tidak lagi sepertimana pada zaman kegemilangan
pemerintahan Abdul Rahman III. Secara khusus, pemerintahan mereka hanya
melibatkan wilayah Granada sahaja yang menjadi daerah terletaknya istana yang
masyhur iaitu istana Al-Hamra’ atau dalam bahasa Sepanyol hari ini lebih
dikenali sebagai al-Hambra.
Oleh kerana berlaku perselisihan keluarga dalam hal mewarisi
kepimpinan, akhirnya telah menyebabkan pergolakan anak-beranak berlaku dan
seterusnya melemahkan lagi pemerintahan Islam di Granada ini. Disebabkan Abu
Abdullah tidak berpuas hati dengan pewarisan takhta yang ditunjukkan oleh
bapanya, iaitu kepada saudaranya yang lain, lalu beliau memberontak sehingga
dalam pemberontakan tersebut telah mengorbankan nyawa bapanya. Namun, takhta
pemerintahan tidak menyebelahi Abu Abdullah, tetapi ia beralih kepada Muhammad
ibn Sa’ad. Lalu perancangan dibuat dalam bentuk kerjasama antara Raja Ferdinand
dan Abu Abdullah untuk merampas kembali takhta pemerintahan.
Rampasan itu berjaya, ringkasnya Abu Abdullah dapat
menduduki takhta tetapi bagi jangkamasa yang pendek disebabkan tekanan dari
Ferdinand untuk mendapatkan habuan. Habuannya tidak lain tidak bukan ialah
penyerahan wilayah Granada ini kepada beliau, lantas masyhurlah Ferdinand yang
beristerikan Isabella sebagai raja yang berjaya menumbangkan kerajaan terakhir
Islam di Andalusia.
Kejatuhan Andalusia rupanya adalah kelemahan pemerintahan
yang sanggup menggadai prinsip mereka demi mendapat bantuan sokongan untuk
menduduki takhta yang hanya buat sementara sahaja. Selain itu, ia turut
disebabkan beberapa faktor, iaitu:
i. Usaha agresif puak Kristian untuk menakluk kembali
wilayah yang ditadbir oleh kaum Muslimin sehingga menyebabkan pertahanan mereka
terus rapuh dan tidak mampu bertahan atas serangan fikri dan askari yang
dilakukan tentera musuh.Gerakan ini lebih dikenali sebagai Reconquista. Tidak
dinafikan ia mempunyai kaitan dengan usaha pihak Kristian untuk menakluk
wilayah yang telah jatuh ke tangan umat Islam di seluruh dunia di mana ia
seolah turut terkesan dengan pergerakan tentera Salib yang menumpukan perhatian
di wilayah umat Islam di Asia Barat.
ii. Ketiadaan sokongan dari pemerintah Islam di wilayah luar
Andalus, melainkan sokongan yang sering diterima hanyalah dari Afrika Utara
sahaja.
iii. Tiada mekanisma dalam mencari pengganti yang layak
(succession plan) untuk meneruskan pemerintahan di mana kebanyakkan mereka
mewariskan kepimpinan kepada anak beranak atau ahli keluarga.
iv. Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul amal)
dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan
antara satuwilayah dengan wilayah yang lain. Perbezaan fikrah yang wujud
dikalangan mereka banyak membawa keruntuhan dan kurang usaha untuk bekerjasama
dalam hal-hal yang disepakati.
Kesan daripada kejatuhan inilah umat Islam dihina dan
dihalau keluar dari Andalusia. Ia turut terpalit kepada kaum Yahudi, di mana
tiada kuasa yang boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam menjadi lemah
seterunya runtuh. Kehinaan yang diterima sepertimana berdasarkan perintah yang
dikeluarkan pada tahun 1492M iaitu setiap orang Yahudi yang enggan dibaptis,
mereka perlulah keluar dari Andalusia dalam tempoh 3 bulan. Ia dikuti perintah
yang dikeluarkan 10 tahun selepas itu kepada mereka yang tidak mahu dibaptiskan,
iaitu perintah pada Februari 1502 di mana pihak Kristian mengusir golongan
pendatang yakni orang Islam dari Seville dan sekitarnya.21 Jelas, kejatuhan
pemerintahan yang berlaku bukan sekadar peralihan kuasa politik, tetapi ia
turut memberi kesan kehinaan kepada umat Islam, malah ada di antara mereka yang
diperangi ketika sudah bersedia keluar dari Andalusia.
Iktibar Sejarah Andalusia: Teladan dan Sempadan
Jika diteliti dari sudut perkembangan dan kemajuan Islam di
Andalusia, jelas menunjukkan bahawa pemerintahan Islam telah mementingkan
kemajuan intelektual dan keilmuan di samping perkembangan industri dan
pertanian.
Namun, disebabkan beberapa masalah dalaman yang berlaku,
pemerintahan Islam akhirnya tidak dapat bertahan dan terpaksa menyerahkan
penguasaan mereka selama hampir 8 abad itu kembali kepada Kristian.
Antara punca yang dilihat melemahkan umat Islam ketika itu
dan boleh dijadikan iktibar kini ialah:
Perebutan kuasa dikalangan pemimpin yang mentadbir wilayah.
Ini dapat dilihat pada peringkat awal pemerintahan Andalusia
di mana para pemimpin sering berselisih dalam hal ehwal pentadbiran. Gangguan
dari dalam ini telah menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Di antara
pergolakan itu berupa perselisihan di antara elite penguasa, terutama akibat
perbezaan ras dan etnik. Disamping itu, terdapat perbezaan pandangan antara
khalifah di Damsyik dan gabenor Afrika Utara yang berpusat di Kairawan.
Masing-masing mengaku bahawa merekalah yang paling berhak menguasai Andalusia
ini. Oleh kerana itu, tidak hairanlah penggantian pemerintah atau wali
(gabenor) berlaku lebih daripada dua puluh kali dalam jangka waktu yang amat
singkat. Perbezaan pandangan politik itu menyebabkan seringnya terjadi perang
saudara sesama mereka lalu merencatkan pembangunan tamadun umat di sana.
1. Tidak mempunyai sifat ketaatan kepada kepimpinan sehingga
mereka tidak mahu mengikut nasihat khalifah. Akhirnya, anasir-anasir tidak puas
hati itu membawa kepada perancangan untuk merampas kekuasaan dikalangan umat
Islam, sedihnya dengan melibatkan kerjasama dengan pihak musuh.
2. Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari
dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira
untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.
Manakala kejayaan mereka yang boleh dijadikan iktibar ialah:
1. Andalusia telah membuka ruang untuk memastikan supaya
sekiranya kita ingin sentiasa maju ke hadapan, kita harus bersikap terbuka
kepada pemikiran-pemikiran kreatif dan idea-idea yang inovatif. Mereka telah
mencapai kejayaan dari segi sains dan teknologi kerana menggalakkan suasana
intelek dan tidak rigid dengan kemasukan ilmu-ilmu moden.
2. kecemerlangan Andalusia dalam bidang pertanian dan
industri memungkinkan kita untuk mempertingkatkan kemajuan dalam bidang ini
dengan bantuan teknologi maklumat, dan mengambil nikmat bioteknologi untuk
dikembangkan dalam sektor ini agar pertanian tidak lagi dipandang enteng.
3. Lahirnya ilmuwan seperti Ibn Bajjah (1082 – 1138M), Ibn
Zuhr (1091 – 1162M) dan lain-lain menuntut kita melahirkan cendikiawan Muslim
yang versatile, mahir dari segi ilmu turath dan juga ilmu moden yang mampu
untuk
meninggalkan jejaknya yang tersendiri di dunia ini. Generasi
ilmuwan moden ini harus dibina jati diri mantap agar memberi manfaat kepada
pembangunan negara.
4. Ketamadunan yang dibina telah meninggikan Eropah yang
pada waktu tersebut berada pada zaman kegelapan. Bandar Cordova di Andalusia
dilihat sebagai Bandar yang terulung dikalangan Negara-negara Eropah yang lain
dan mereka telah memajukan intelektualisme dari aspek falsafah, senibina,
matematik, teologi, perubatan dan banyak lagi sehingga Islam gambarkan begitu
kehadapan dalam soal ini. Mereka dapat measimilisasikan Islam dengan falsafah
dan pusat kecemerlangan Greek sehingga ia menyumbang kepada keseluruhan negara
Barat yang didominasi kaum Kristian.
Kejayaan mereka membina tamadun dalam keadaan mereka
mempunyai kepelbagaian bangsa dan penganut agama samawi juga sesuatu yang unik.
Sudah pasti ia ada kaitan dengan kefahaman terhadap ajaran Islam yang
dipraktikkan dalam bentuk siyasi. Rujukan tentunya terhadap contoh-contoh awal
yang ditunjukkan oleh Khalifah Islam dalam memberi dan menjamin hak asasi
setiap penganut agama yang mana mereka boleh hidup aman damai di bawah pemerintahan
Islam.
Contoh-contoh jaminan ini terus dilaksanakan sehingga ke
wilayah pemerintahan Andalusia. Oleh sebab itu kita dapat menyaksikan sejarah
di mana umat Islam, Kristian dan Yahudi saling membantu mewujudkan suasana
keilmuan yang baik terutama di Cordova. Ini kelihatan begitu relevan dengan
negara kita sekarang yang mempunyai kepelbagaian latar bangsa dan penganut
agama. Oleh itu, demi mencapai puncak kemajuan, kerjasama antara kaum ini harus
diberi tumpuan yang wajar bagi meningkatkan kerjasama dan kefahaman dikalangan
rakyat yang ada.
Penutup
Kecemerlangan Tamadun Islam Andalusia berakhir tanpa dapat
dipertahankan oleh umat Islam. Ia jatuh di bawah pemerintahan kerajaan Sepanyol
dan kekal sehingga hari ini. Kesan peninggalan itu masih boleh dibanggakan
walaupun hakikatnya tiada apa yang dapat diperolehi oleh umat Islam hasil
peninggalan tersebut. Kejatuhan Andalusia kelihatan tidak memungkinkan ia
kembali ditadbir oleh umat Islam.
Pengalaman pahit ini harus dipelajari agar umat zaman kini
tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada ketika dahulu. Sejarah Andalusia
itu sudah tidak dapat diperbaiki untuk manfaat wilayah itu, namun pastinya
pengalaman atau pengajaran dapat diperolehi bagi manfaat generasi kini. Walau
bagaimanapun, kesediaan Eropah membuka kembali pintu pada abad moden ini dan
memberi peluang kepada bangsa-bangsa lain berada di wilayah mereka telah
sedikit sebanyak menyaksikan kemunculan kembali umat Islam di Eropah, termasuk
di Andalusia.
No comments:
Post a Comment